Saya kongsikan cerita ini hampir 14 tahun saya simpan. Tidak ada siapa tahu suatu ketika dulu keluarga saya berada di bawah pemantauan kementerian kesihatan
Biar kita tersilap ampun dari kita tersalah hukum. Saya kongsikan cerita ini hampir 14 tahun saya simpan. Tidak ada siapa tahu suatu ketika dulu keluarga saya berada di bawah pemantauan kementerian kesihatan kerana penyakit yang dijangkiti oleh maid saya.
Ingin saya berkongsi cerita tentang gangren. Gangren ini berlaku apabila sel-sel telah mati menyebabkan daging busuk. Daging busuk tadi disebabkan oleh kuman. Kiranya kuman ini memang sudah lama ada di dalam tubuh seseorang tetapi duduk rehat/pasif.
Suatu hari maid saya terjatuh, terjelepok ke lantai menyebabkan kakinya sakit. Katanya terseliuh, salah urat. Cuma disapu minyak panas dan urut sikit sikit.
Dua hari selepas itu, maid saya demam dan saya bawa ke klinik. Doktor kata demam denggi. Kakinya bengkak dan kehitaman, seperti berlaku pendarahan. Sepatutnya nampak kemerah-merahan tetapi kulit maid saya gelap, warna merah jadi warna hitam. Bimbang keadaan akan lebih memudaratkan, doktor menasihati saya agar membawanya ke hospital. Oleh kerana maid warga asing, saya masukkan maid ke hospital swasta, Hospital Pakar Johor.
ASALNYA CUMA TERSELIUH, TETAPI KAKI BENGKAK & BERTUKAR WARNA HITAM
Empat hari berada di wad. Doktor pakar benar-benar melakukan siasatan kenapa kaki maid saya yang asalnya cuma terseliuh boleh bengkak dan bertukar warna hitam. Doktor memaklumkan bahawa sel-sel telah mati dan kaki maid jadi gangren. Doktor pakar menasihatikan agar maid dipindahkan ke hospital kerajaan. Kos rawatan sangat tinggi jika meneruskan rawatan di situ.
Setelah urusan discaj, bil rawatan selama 4 hari mencecah RM5,500. Doktor menyediakan surat rujukan untuk meneruskan rawatan di hospital kerajaan. Satu saja yang hospital pakar sembunyikan mereka tak mahu beritahu mengapa gangren boleh terjadi. Mereka suruh saya tanya pakar di hospital kerajaan. Doktor pakar menegaskan maid saya mesti dibawa menerima rawatan segera dan jangan sekali kali bawa pulang ke rumah.
Memandangkan maid memang sakit dan lemah, terus saya bawa dari Hospital Pakar Johor ke Hospital Sultanah Aminah. Saya sudah tidak kira lagi kos rawatan yang perlu saya tanggung demi membantu orang yang sakit. Memang kena bayar deposit sebab maid warga asing.
RUPA-RUPANYA MAID DIJANGKITI KUSTA
Baru dua hari duduk dalam wad, doktor pakar perubatan dan doktor pakar kulit HSA sudah memanggil saya datang untuk menerangkan kenapa kaki maid jadi gangren dan rawatan selanjutnya. Doktor menerangkan kaki maid jadi gangren, sel-sel mati disebabkan maid saya telah dijangkiti kusta. Kusta ini bukan baru tetapi telah ambik masa bertahun-tahun berada dalam tubuh maid cuma tidak aktif.
Maid terjatuh telah merangsang kuman aktif dan menyebabkan sel-sel di kaki mati. Pendek kata kuman ini serang kaki dulu. Sebenarnya kuman itu telah berada di seluruh tubuh tetapi yang lain masih tidur. Jelas kelihatan kulit di beberapa bahagian menebal dan hilang deria rasa. Itupun kami tahu setelah doktor pakar memeriksa secara terperinci di setiap bahagian tubuh maid saya. Banyak lagi simptom lain yang mengesahkan maid saya mengidap kusta.
Kusta bukan alang-alang penyakit. Penyakit kusta ada tercatat dalam kisah nabi Musa. WHO telah mengistiharkan mana-mana kawasan atau sesiapa yang terkena penyakit kusta perlu diasingkan/ dikuarantin, hidup dalam pengasingan.
Dulu di Sg Buluh, Selangor ada sebuah hospital untuk merawat orang-orang yang berpenyakit kusta. WHO juga telah mengistiharkan rawatan untuk orang sakit kusta adalah percuma.
Pelan rawatan awal yang doktor maklumkan kepada saya ialah menjalani pembedahan plastik ke atas kaki maid. Bermakna daging daging kaki semuanya dibuang termasuklah kulit kulit kaki. Asalnya jatuh terseliuh itu sebelah kaki saja, tetapi terjadi gangren di kedua-dua belah kaki. Pembedahan plastik dilakukan di kedua-dua belah kaki dari buku lali hingga ke lutut. Doktor kata kuman itu baru merosakkan sel-sel dalam daging saja belum masuk ke tulang, jadi tidak perlu potong kedua-dua kaki.